ISU PENDIDIKAN : Bangun institusi pendidikan bertaraf dunia
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my
Dalam era ekonomi berasaskan ilmu
pengetahuan, negara amat memerlukan modal insan berpengetahuan sebagai asas
memaksimumkan keupayaan generasi masa depan.
Ia satu usaha mencapai piawaian
global dalam melahirkan golongan berkeupayaan yang mampu menjana pencapaian
merangkumi semua aspek.
Perubahan itu turut menjadikan
pendidikan sepanjang hayat agenda murni mencorak modal insan mengikut acuan
semasa.
Namun, usaha atau perubahan itu
masih dipertikaikan kemampuannya terutama dalam penyaluran maklumat menerusi
medium pendidikan.
Segelintir pihak menganggapnya
kurang efektif biarpun banyak perubahan dilakukan bagi meningkatkan kualiti
sedia ada.
Justeru, apakah usaha boleh
dilakukan lagi memartabatkan dunia pendidikan negara bagi menyahut cabaran
lebih besar pada masa akan datang?
Dekan Fakulti Pendidikan
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr Amir Hasan Dawi berkata,
ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi perlu dimantapkan bagi
melonjakkan transformasi menjadi pendidikan bertahap global.
Beliau berkata, dunia pendidikan
hari ini bukan saja bertambah kompleks malah dipelbagaikan dengan keperluan
terkini bagi mencakupi standard global.
“K-ekonomi menjadi antara pemacu
dalam usaha menjadikan dunia pendidikan negara lebih berkapasiti tinggi dan
optimis melahirkan generasi intelek, berkemahiran dan bersahsiah.
“Dalam konteks globalisasi hari
ini keperluan kepada ilmu semakin dirasakan manakala persaingan merebut pasaran
berlaku dalam pelbagai aktiviti atau peluang perniagaan.
“Oleh itu, pihak yang lebih
tinggi ilmunya akan berjaya menguasai bidang berkaitan, sekali gus memperoleh
keuntungan,” katanya.
Beliau berkata sistem K-ekonomi
bukan saja mampu membantu menjana maklumat dalam struktur pembangunan
masyarakat malah membantu membangunkan institusi pendidikan menjadi bertaraf
dunia dan proses pembelajaran sepanjang hayat.
“Hari ini kita tidak dapat
menafikan bagaimana pendidikan diiktiraf sebagai penting dalam struktur
masyarakat kerana ia sumber mendapatkan ilmu.
“Dari segi sejarah, negara yang
mengutamakan pendidikan dalam dasar pembangunan lebih berjaya seperti Amerika
Syarikat dan United Kingdom.
“Dalam konteks Malaysia,
pertumbuhan pesat pusat pengajian adalah perkembangan langsung sektor
pendidikan dan ini sangat membanggakan kerana kita sudah mula melakukan anjakan
sistem menjadi lebih kompetitif,” katanya.
Beliau turut merujuk Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) yang berani
melakukan perubahan bagi mencapai wawasan melahirkan pelajar berdaya saing.
Menurutnya, menerusi PPPM yang
merangkumi anjakan perubahan aspek menyeluruh, nilai bidang pendidikan negara
akan diletakkan sebagai satu mekanisme utama yang akan dibangunkan dengan
suntikan elemen diperlukan secara global.
“Kita sentiasa merujuk kepada
negara luar untuk membangunkan sistem sedia ada walaupun kita mempunyai banyak
kelebihan kos yang kompetitif berbanding negara maju.
“Dengan transformasi demi
transformasi ini, sistem pendidikan kita dibangunkan dengan acuan sendiri.
“Pembaharuan ini juga bagi
memenuhi permintaan global yang mahukan pelajar berkemahiran, serba boleh dan
mampu mencapai matlamat berpengetahuan dengan baik,” katanya.
Mengakui bukan mudah mahu
menjayakan K-ekonomi ini dalam sektor pendidikan negara, beliau berkata ia
boleh dilaksanakan andai kita mampu mengekalkan daya saing ilmu yang tinggi .
“Kita perlu meningkatkan
keupayaan pakar tempatan dalam penguasaan ilmu itu sendiri supaya diiktiraf
bukan semata-mata kerana kos atau prasarana fizikal.
“Sekarang peluang ekonomi yang
ditawarkan sektor pendidikan lebih menjurus jual beli dengan insentif diberi
kerajaan misalnya skim pinjaman pendidikan menyebabkan pertumbuhan pesat pusat
pengajian tinggi.
“Di peringkat sekolah,
pertumbuhan sekolah swasta dan antarabangsa mencabar kewibawaan sistem kita,
justeru dalam jangka panjang, kekukuhan sektor pendidikan dari segi komponen
ilmu, kualiti dan kepakaran perlu ditingkatkan,” katanya.
Mengenai tanggapan segelintir
pihak yang berpendapat isu untuk meningkatkan taraf pendidikan negara adalah
isu sensitif, beliau berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka dalam menangani
isu pendidikan.
Katanya, perkara ini hanya boleh
diatasi dengan memberi ruang kepada ilmuwan yang mempunyai ilmu dan kepakaran
dalam bidang pendidikan bagi merangka dasar pendidikan.
“Kita perlu bertindak pantas
untuk bersaing dengan perkembangan ilmu serta teknologi baru, semasa dan akan
datang.
“Dapat dilihat dalam pembangunan
pesat kita mengimport ramai tenaga pakar serta separa pakar asing dan mereka
boleh mencipta kejayaan selain semakin banyak universiti luar negara membuka kampus cawangan di sini.
“Oleh itu perlu ada budaya strategik membangunkan tenaga kerja berilmu dalam kalangan rakyat tempatan selain
mula melakukan perubahan sikap dan budaya yang dimulakan dengan generasi muda,”
katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2015
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/